Sejarah Bokser Jerman

Maklumat selanjutnya: Bullenbeisser

Bokser ialah mastif pemburu yang dikembangkan di Jerman pada lewat abad ke-19 daripada bullenbeisser yang kini pupus, anjing keturunan mastif Inggeris, dan buldog yang dibawa masuk dari Great Britain.[4] Bullenbeisser telah bekerja sebagai anjing pemburu selama berabad-abad, digunakan dalam pengejaran beruang, babi hutan, dan rusa. Tugasnya adalah untuk menerkam mangsa dan menahannya sehingga pemburu tiba. Pada tahun-tahun kemudian, anjing lebih pantas digemari dan bullenbeisser lebih kecil dibiakbakakan di Brabant, di Belgium utara. Bullenbeisser Brabant pada umumnya diterima sebagai leluhur langsung bagi bokser kini.[27]

Pada tahun 1894, tiga orang Jerman, Friedrich Robert, Elard König, dan R. Höpner, berkeputusan untuk menstabilkan baka ini dan mempamerkannya dalam pertunjukan anjing. Ini dilakukan di Munich pada tahun 1896 dan pada tahun sebelum itu mereka mengasaskan kelab bokser pertama, iaitu Deutscher Boxer Club. Kelab itu terus menerbitkan piawaian baka bokser pertama pada tahun 1904, yakni dokumen terperinci yang tidak banyak diubah sejak itu.[28]

Bokser dalam pameran bokser pertama, Munich, tahun 1896

Baka ini diperkenalkan ke negara lain di Eropah pada lewat abad ke-19 dan ke Amerika Syarikat pada sekitar permulaan abad ke-20. AKC mendaftarkan bokser pertama pada tahun 1904,[4] dan mengiktiraf juara bokser pertama, Dampf vom Dom, pada tahun 1915. Semasa Perang Dunia Pertama, bokser dipilih untuk kerja ketenteraan, dengan bertindak sebagai anjing utusan berharga, pembawa pek, anjing penyerang, dan anjing pengawal.[4] Bokser tidak menjadi popular di seluruh dunia sehingga selepas Perang Dunia Kedua. Setelah dibawa pulang oleh askar yang pulang, anjing ini diperkenalkan kepada khalayak lebih ramai dan tidak lama kemudian menjadi kegemaran sebagai teman, anjing pertunjukan, dan anjing pengawal.

Genealogi awal

Carta genealogi awal bokserFlocki, bokser pertama

Warganegara Jerman George Alt, seorang penduduk Munich, mengawankan seekor anjing betina berwarna brindle yang diimport dari Perancis bernama Flora dengan seekor anjing tempatan dengen keleluhuran yang tidak diketahui, yang dikenali hanya sebagai "Boxer", lalu menghasilkan seekor jantan perang kekuning-kuningan dan putih, bernama Lechner's Box sempena pemiliknya.

Anjing ini dikawankan dengan ibu sendiri, Flora, dan salah seekor anaknya ialah seekor betina yang dipanggil Alt's Schecken. George Alt mengawankan Schecken dengan seekor buldog bernama Dr. Toneissen's Tom untuk menghasilkan anjing yang ketara dalam sejarah, Mühlbauer's Flocki. Flocki ialah bokser pertama yang memasuki Buku Pembaka Jerman selepas memenangi pertunjukan yang tersebut di atas untuk anjing Santo Bernard di Munich pada tahun 1896, yang merupakan acara pertama yang mempunyai kelas khusus untuk bokser.[27][28]

Anjing betina putih Ch. Blanka von Angertor, iaitu saudari kepada Flocki, malah lebih berpengaruh apabila dikawankan dengan Piccolo von Angertor (cucu kepada Lechner's Box) untuk menghasilkan anjing betina yang kebanyakannya berwarna putih (warna-warni) Meta von der Passage, yang, walaupun hanya serupa sedikit dengan piawaian bokser moden (fotograf-fotograf awal menggambarkannya sebagai anjing yang terlalu panjang, berbelakang lemah, dan bermuka rendah), dianggap sebagai ibu kepada baka ini.[29][30] John Wagner, dalam The Boxer (yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1939) mengatakan yang berikut mengenai anjing betina ini:[31]

Meta von der Passage memainkan peranan paling penting antara lima ekor leluhur asli. Susur galur hebat kami bagi induk-induk jantan kesemunya dijejaki terus kepada betina ini. Ia bertubuh besar, rendah ke tanah, berwarna-warni brindle dan putih, kurang rahang bawah, dan sangat berbibir. Sebagai betina yang membiak, hanya sedikit dalam mana-mana baka yang dapat memadani rekodnya. Ia secara tekal melahirkan anak-anak anjing daripada jenis mengagumkan dan dengan kualiti jarang. Anak-anak anjingnya yang dibapai oleh Flock St. Salvator dan Wotan mendominasi semua pedigri masa kini. Digabungkan dengan anak-anak Wotan dan Mirzl, anjing-anjing ini menghasilkan baka bokser.

Nama baka

Nama "Boxer" kononnya diterbitkan daripada kecenderungan baka ini untuk bermain dengan berdiri dengan tungkai belakangnya dan "bertinju" ("boxing") dengan kaki hadapannya.[4] Menurut Pet Owner's Guide to the Boxer ("Panduan Pemilik Haiwan Peliharaan untuk Bokser") karya Andrew H. Brace, teori ini ialah penjelasan paling tidak munasabah.[29] Beliau mendakwa, "bangsa yang sungguh diselubungi nasionalisme tidak mungkin akan memberi salah satu baka paling masyhurnya nama yang begitu jelas diinggeriskan".

Bukti linguistik dan sejarah Jerman menemukan sumber bertulis terawal untuk perkataan Boxer pada abad ke-18, iaitu dalam teks dalam Deutsches Fremdwörterbuch ("Kamus Kata Asing Jerman"),[32] yang memetik seorang pengarang bernama Musäus dari tahun 1782 yang menulis "daß er aus Furcht vor dem großen Baxer Salmonet ... sich auf einige Tage in ein geräumiges Packfaß ... absentiret hatte". Pada masa itu, ejaan "Baxer" menyamai "Boxer". Kedua-dua kata kerja itu (boxen [Bahasa Melayu "bertinju, bertumbuk"]) dan kata nama itu (Boxer) merupakan perkataan umum bahasa Jerman seawal lewat abad ke-18. Istilah Boxl, yang juga ditulis Buxn atau Buchsen dalam dialek Bavaria, memaksudkan "seluar pendek (kulit)" atau "seluar dalam". Istilah Boxerl yang berbunyi sangat serupa, juga daripada dialek Bavaria, ialah istilah pemanis untuk Boxer.[33] Lebih selari dengan fakta sejarah, Brace menyatakan bahawa banyak teori lain mungkin menjelaskan asal usul nama baka itu. Antara teori-teori itu, beliau lebih terdorong kepada yang mendakwa bahawa bullenbeisser (Brabant) yang lebih kecil juga dikenali sebagai Boxl dan bahawa Boxer hanyalah terbitan daripada perkataan itu.[33]

Ada teori selari yang berdasarkan hakikat bahawa sekumpulan anjing dikenali sebagai Bierboxer di Munich menjelang masa perkembangan baka ini. Anjing-anjing ini merupakan hasil daripada campuran bullenbeisser dengan baka-baka serupa lain. Bier ("bir") mungkin merujuk Biergarten, taman bir tipikal Munich, restoran ruang terbuka yang didatangi oleh orang ramai yang membawa anjing mereka bersama. Nama gelaran "deutscher Boxer" ("bokser Jerman") berasal daripada Bierboxer dan Boxer juga mungkin terbitan daripada Bierboxer atau singkatan daripada deutscher Boxer.[34]

Kupasan daripada buku The Complete Boxer oleh Milo G Denlinger menyatakan:

Nama "Boxer" telah didakwa digunakan secara berseloroh oleh seorang perantau Inggeris yang memerhatikan kecenderungan anjing itu untuk menggunakan kakinya dalam pertempuran. Ini kelihatannya mustahil. Sebarang tindakan sedemikian mungkin akan menyebabkan tungkai digigit dengan teruk jika tidak patah. Sebaliknya, seorang pembiak baka Jerman yang berpengalaman selama 40 tahun menyatakan secara positif bahawa Boxer tidak menggunakan kakinya, kecuali untuk cuba memadam nyalaan kecil seperti mancis menyala. Tetapi Boxer memang bertinju dengan kepalanya. Ia akan memukul (bukan menggigit) kucing dengan muncungnya dengan cukup kuat untuk memengsankan [kucing itu] dan ia akan bertinju dengan bola dengan hidungnya. Atau mungkin, oleh sebab kamus Jerman menterjemahkan Boxer sebagai "pejuang hadiah", nama itu dianugerahkan sebagai penghargaan kualiti pertempuran baka itu dan bukannya kerana tekniknya.

Boxer juga merupakan nama seekor anjing yang dimiliki oleh John Peerybingle, watak utama dalam buku terlaris tahun 1845 The Cricket on the Hearth oleh Charles Dickens yang merupakan bukti bahawa "Boxer" umumnya digunakan sebagai nama anjing menjelang awal abad ke-19 sebelum pengasasan baka ini menjelang penghujung abad sama.

  • Bokser brindle dengan dua stoking putih
  • Anak-anak bokser brindle, perang kekuning-kuningan, dan putih

Rujukan

WikiPedia: Bokser Jerman http://users.pullman.com/lostriver/breeddata.htm https://www.thekennelclub.org.uk/breed-standards/w... http://www.akc.org/dog-breeds/boxer/#standard http://www.akc.org/news/the-most-popular-dog-breed... http://www.akc.org/dog-breeds/boxer/ https://www.fci.be/Nomenclature/Standards/144g02-e... http://www.worldwideboxer.com/PAGE6.html https://web.archive.org/web/20061004125143/http://... https://web.archive.org/web/20170908134800/http://... https://web.archive.org/web/20060823081942/http://...